JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM3.5 juta untuk Yayasan Sultanah Fatimah menjalankan pelbagai program pembangunan yang akan dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, antara program itu termasuklah penubuhan Pusat Ekonomi Digital Johor (JDEC) yang akan membantu usahawan muda khususnya masyarakat Cina dalam program berkaitan digital.
Menurut beliau, JDEC merupakan inisiatif yayasan itu untuk membantu usahawan dan individu dalam menghadapi era ekonomi digital ketika ini.
“Sebagai permulaan, kita sasarkan seramai 2,000 belia akan terlibat dengan program digital JDEC ini.
“Mereka akan diberikan latihan, bimbangan dan bantuan secara berterusan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran JDEC di Danga Bay di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad dan Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah, Datuk Tee Siew Kiong.
Terdahulu dalam ucapannya, Hasni berkata, Yayasan Sultanah Fatimah ditubuhkan untuk membantu dan memperkasakan golongan kurang berkemampuan daripada kalangan masyarakat kaum Cina di negeri ini.
“Peranannya sama seperti Yayasan Sultanah Rogayah yang melihat kepada kebajikan masyarakat kaum India manakala Yayasan Sultan Ibrahim melihat secara keseluruhan kebajikan masyarakat di negeri ini.
“Maka, gandingan ketiga-tiga yayasan ini adalah amat penting sebagai satu sinergi yang boleh membangunkan negeri kita ini.
“Jadi saya berharap agar Yayasan Sultanah Fatimah akan terus berkembang dan mencapai potensi mereka untuk kita membangunkan Pelan Digital Johor,” ujarnya.
Penggerak Daily