JOHOR BAHRU: Ratu rock Malaysia, Ella sedia menggegarkan Stadium Tertutup Arena Larkin, di sini pada 14 Disember depan selepas lebih 10 tahun tidak mengadakan konsert di Johor.
Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 58, berkata, dia tidak sabar bertemu dengan peminat bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari Singapura dan Indonesia.
Menurutnya, dia juga teruja membuat persembahan di negeri asal suaminya bersama kumpulan Exists dan juga Kugiran Masdo.
“Rasanya sudah lebih 10 tahun saya tidak mengadakan konsert di Johor, jadi saya memang teruja untuk bertemu dengan peminat-peminat di sini.
“Pada konsert ‘A Night To Remember: Rock Nostalgia’ ini, saya akan persembahkan antara lapan hingga 10 lagu terdiri daripada lagu-lagu popular dan yang kurang dikenali ramai.
“Tetapi jika crowd happening, Ella akan belanja lagu lebih lagi,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif Coaction Events, David Emir Bareng.
Menurut Ella lagi, dia mengakui Johor mempunyai tarikan tersendiri yang unik berbanding negeri-negeri lain, termasuklah keindahan pulau dan juga makanan tradisionalnya.
“Saya teruja buat konsert di sini, Johor ada tarikannya tersendiri daripada pulau yang indah dan juga aneka makanan seperti asam pedas, laksa Johor dan kacang pool, saya memang suka Johor.
“Jadi saya harap warga Johor datang memenuhkan konsert dan nantikan kejutan yang akan saya bawa pada konsert itu,” katanya.
Sementara itu, Sharil Nizam pula memberitahu, pihaknya berharap konsert itu mendapat sambutan sehingga lokasi yang mampu memuatkan seramai 4,000 pengunjung itu penuh.
“Kita mahu maklumkan bahawa Johor adalah hab pelancongan termasuklah dalam bidang hiburan dan budaya. Penganjuran konsert yang dibarisi nama-nama besar seperti ini akan membantu menarik kehadiran pelancong ke negeri ini,” jelasnya.
Peminat yang mahu menyaksikan konsert itu boleh mendapatkan tiket yang berharga antara RM99 hingga RM399 dengan melayari laman web www.ticket2u.com.my.
Penggerak Daily