Oleh: Ahmad Roi
10 kali tayang, 11 kali ketawa. Filem Madu Tiga arahan P. Ramlee memang jenius. Jenakanya malar segar. Lawaknya seluruh – yang tua terbahak-bahak, yang muda berdekah-dekah.
“Butang baju Melayu aku mana Pah?”, dialog ikonik En Jamil di babak awal yang selalu jadi gurauan abang-abang untuk bersiap pagi raya.
Dalam sejarah moden Malaysia, Jamil jadi fenomena berkaitan hal kahwin banyak, temberang bini sampai pecah tembelang. Ketawalah terbahak-bahak, memang layak untuk sebuah filem lama yang superb.
Filem superb ini diterbit pada 1964. Sudah 55 tahun. Sudah melampaui banyak dekad. Tapi orang lama tengok banyak kali boleh berdekah, orang baharu tengok sekali boleh terbahak.
Tak sama dengan cerita masa kini – sekali tengok lawak, dua kali tengok boring. Kenapa cerita P.Ramlee (Madu Tiga) boleh tahan lama? Apa rahsianya?
Pengkaji seni filem aliran realisme, Goerge Lukacs kata sebuah karya boleh tahan lama apabila berupaya menyentuh/kritik hubungan dan makna terdalam masyarakatnya.
Dalam kes Madu Tiga, P.Ramlee membedah sebuah makna yang berubah dalam masyarakat prakapitalis, iaitu makna bahagia.
Pembaca jangan bimbang, saya bukan pro-poligami. Malahan makna bahagia yang diperihalkan P.Ramlee bukan bahagianya Si Jamil. Bagaimana P.Ramlee kritik makna bahagia masyarakat zamannya?
Kalau pembaca perasan, selain kita dikenalkan dengan watak 3 orang bini Encik Jamil, kita juga dikenalkan dengan 3 orang mertua Encik Jamil. Bukan ipar, bukan biras.
Diceritakan, mertua bini pertama dan mertua bini kedua pro pada perangai Encik Jamil. Tidakkah pelik bin hairan, seorang bapa/ibu sanggup berlapang dada malahan membantu perangai temberang menantunya. Lagi pelik, yang menjadi mangsa temberang adalah anak mereka.
P.Ramlee secara eksplisit tunjukkan harta kekayaan jadi sebabnya. Bagi mertua bini pertama, En Jamil adalah bos mertuanya. Sudah tentu hubungan bos-pekerja mempengaruhi hubungan mertua – menantu.
Bagi mertua bini kedua, sebabnya telah diulang dua kali dalam cerita ini. Pertama ketika malam persandingan dan kedua ketika dialog mertua bini kedua dengan anaknya ketika En Jamil tiga hari tidak pulang ke rumah. Ya, sebab mertua kedua berlapang dada kerana sudah dapat duduk rumah besar.
Mertua pertama dan kedua adalah naratif sosial masyarakat waktu itu. Ideologi kolonial yang ditinggalkan selepas merdeka masih elok tertanam dalam minda orang Melayu bahawa jaya dan bahagia letaknya pada harta.
Kritik sosial muncul pada mertua En Jamil yang ketiga. Beza dengan mertua yang lain ialah mertua yang ini tidak pro pada kegatalan En. Jamil. ‘Baik ada makna’ jadi kalimat sinikal untuk mereka yang membeli kebaikan dengan harta.
P.Ramlee menunjukkan dalam filem – tidak wajar ukur bahagia dengan harta. Jadi, apa cara capai bahagia? P. Ramlee tunjuk lagi melalui watak bini ke tiga, bahagia boleh dicapai dengan kefahaman dan kejelasan hubungan – tidak kira antara manusia dengan manusia atau manusia dengan alam.
Sungguh radikal. Ketika zaman baru merdeka yang galak dengan pembangunan dan pemodenan ekonomi kapitalisme – ketika ideologi kolonial berkembang meyakinkan masyarakat Timur bahawa ukuran bahagia dan berjaya terletak pada harta kekayaan, P.Ramlee hantar kritik lawak sampai sekarang buat orang terbahak.
Terbahak sampai menangiskan nasibnya sendiri.
PenggerakDaily