JOHOR BAHRU: Kejayaan kumpulan nasyid popular, Rabbani menganjurkan Konsert 25 Tahun Simfoni Kesyukuran di Stadium Tertutup Pasir Gudang semalam membuktikan irama nasyid dan ketuhanan masih relevan dalam kalangan masyarakat negara ini.
Manakan tidak, konsert yang berlangsung selama tiga jam itu dihadiri seramai lebih 3,000 pengunjung yang memenuhi segenap pelusuk stadium berkenaan.
Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz memberitahu, situasi berkenaan membuktikan lagu nasyid dan ketuhanan masih mempunyai peminat dan pengikut tersendiri.
“Syukur Alhamdulillah, sokongan daripada semua pihak yang tidak berganjaknya daripada awal konsert sehingga ke akhir. Mereka menghayati kesemua segmen-segmen yang dipersembahkan.
“Konsert malam ini (semalam) juga membuktikan kepada orang ramai bahawa muzik nasyid masih lagi relevan dan akan terus kekal kuat menerajui masa depan.
“Kita juga telah susun agar ada bahagian yang rancak, tenang dan sedih untuk membuai emosi dan mood pengunjung, Alhamdulillah syukur semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui sejurus tamat konsert tersebut, malam semalam.
Konsert berkenaan terbahagi kepada lima segmen dengan deretan lagu-lagu popular Rabbani disampaikan termasuklah Pergi Tak Kembali, Intifada dan Assalamualaikum.
Seakan membuai emosi dan kenangan peminat, Rabbani turut menyelitkan segmen khusus untuk mengenang Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang telah meninggal dunia pada tahun 2009 lalu.
Menurut Azadan lagi, sepanjang tempoh 25 tahun kumpulan itu bergiat aktif dalam industri seni tempatan, terdapat banyak kisah suka dan duka yang hendak disampaikan khususnya buat peminat yang mengikuti perjalanan mereka sejak dahulu lagi.
“Konsert malam ini kami hanya mampu kisahkan sebahagian sahaja daripada kisah perjalanan kami, konsert ini juga merupakan acara kemuncak kami untuk tahun ini.
“Dalam pada itu, ketika ini kami sedang giat bekerjasama dengan Dakmie, yang mana kami telah merakamkan beberapa buah lagu, antaranya bertajuk Sahabat Selamanya.
“Selain itu, kita juga bakal mengadakan persembahan jelajah melibatkan institusi pengajian tinggi di seluruh negara tahun depan,” katanya ringkas.
Selain Rabbani, konsert berkenaan turut menampilkan artis daripada kumpulan Hijjaz, Dakmie selain anak-anak ahli Rabbani sendiri, iaitu kumpulan Aeydan.
Manakala Mawi dan Anas Tahir bertindak sebagai pengacara.
Penggerak Daily