ISKANDAR PUTERI: Polis daerah ini berjaya menahan seramai 13 individu yang bergiat aktif dengan sindiket ahlong menerusi Operasi Vulture yang dijalankan di kawasan Horizon Hill, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, operasi berkenaan dijalankan pada pukul 1 petang.
Menurut beliau, mereka yang ditahan merupakan warganegara tempatan dan berusia antara 19 hingga 28 tahun.
“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 25 telefon bimbit, dua komputer, 19 kad ATM, satu kotak berisi dokumen perjanjian dan surat-surat yang dihantar kepada peminjam yang gagal membayar pinjaman.
“Hasil siasatan yang dijalankan terhadap kesemua suspek, tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Dzulkhairi, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Mahkamah Johor Bahru untuk proses mendapatkan reman,” ujarnya.
Penggerak Daily