ISKANDAR PUTERI: Pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang mahu pulang ke negara asal sempena musim perayaan ini perlu membayar sehingga RM2,000 masing-masing.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, itu jumlah dikenakan sindiket tekong yang bekerjasama di Johor Bahru dan Batam, Indonesia.
Menurut beliau, perkara itu dibongkar pihaknya selepas berjaya menahan seramai 16 warganegara Indonesia di kawasan pesisiran pantai sekitar Tanjung Kupang, Gelang Patah, pada pukul 12.30 tengah malam, 22 Januari lalu.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 migran, dua tekong darat serta dua tekong darat yang berusia antara 21 hingga 39 tahun melibatkan 13 lelaki dan tiga perempuan.
“Siasatan awal mendapati tekong darat menerima bayaran RM300 manakala tekong laut dibayar RM150 bagi setiap migran. Sementara migran yang mahu keluar Malaysia perlu membayar RM2,000, manakala yang mahu masuk perlu membayar RM3,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, pihaknya turut merampas dua bot fiber, dua enjin bot jenama Yamaha, dua buah kereta serta 16 telefon bimbit pelbagai jenama.
“Kesemua suspek ditahan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 51(5)(b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 serta Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan terus komited membanteras jenayah penyeludupan migran.
“Kita jangka akan ada peningkatan pergerakan keluar masuk migran khususnya pada waktu musim perayaan, sehubungan itu kita akan tingkatkan operasi bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara,” tambahnya.
Penggerak Daily