JOHOR BAHRU: Walaupun sudah berulang kali ditegah dan diambil tindakan, namun masih terdapat segelintir pihak tetap berdegil untuk mengadakan program hiburan dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) akibat pandemik Covid-19.
Terbaharu, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pihaknya menahan 19 individu yang sedang leka berhibur dalam premis kedai makan dan minum di Taman Pelangi, di sini, malam kelmarin.
Menurut beliau, serbuan dijalankan menerusi Ops Noda pada pukul 9 malam itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D7, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Balai Polis Taman Pelangi.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 30 hingga 40 tahun melibatkan 14 lelaki dan empat wanita tempatan serta seorang wanita warga China.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, polis menahan 19 individu di dalam premis itu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pusat hiburan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu PPN.
“Penjaga premis dikenakan kompaun RM25,000 dan dibebaskan dengan jaminan polis manakala 17 warga tempatan dikenakan kompaun RM5,000 masing-masing kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial.
“Sementara itu, seorang lagi warga asing dikenakan tahanan reman selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Tambah beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (PPDPPB 2021).
Penggerak Daily