JOHOR BAHRU: Polis berjaya menahan tiga suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket seludup arak tidak bercukai yang beroperasi di sebuah premis di kawasan Taman Larkin Idaman di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan tersebut dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah berkenaan pada pukul 4 petang.
Menurut beliau, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 69 tahun.
“Menerusi serbuan ini, polis berjaya merampas sebatang kunci dan 222 kotak mengandungi pelbagai jenis arak yang dianggarkan bernilai RM75,000.
“Siasatan awal dibuat mendapati premis berkenaan digunakan pihak sindiket sebagai tempat penyimpanan dan transit untuk minuman keras tidak bercukai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, kes disiasat mengikut Seksyen135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Penggerak Daily