JOHOR BAHRU: Seorang pembekal dadah lelaki warganegara asing berusia 32 tahun yang dikenali sebagai ‘doktor’ antara 78 individu yang ditahan berhibur sambil dibawah pengaruh dadah di beberapa premis hiburan sekitar Batu Pahat dan Kluang, awal pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 1 pagi hingga 3 pagi.
Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 68 tahun, dengan 55 daripadanya merupakan lelaki tempatan, 15 wanita tempatan serta tiga lelaki dan lima wanita warga asing.
“Dalam serbuan yang dijalankan di tiga buah premis hiburan yang beroperasi melebihi had waktu itu, seramai 246 individu diperiksa dan 78 yang ditahan adalah atas pelbagai kesalahan termasuk dadah dan imigresen.
“Antara yang ditahan termasuklah tiga pembekal dadah yang mengedarkan dadah ke premis-premis hiburan iaitu dua lelaki tempatan berusia 25 dan 33 tahun serta seorang lelaki warganegara asing berusia 32 tahun yang dikenali dengan panggilan doktor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hasil saringan ujian air kencing dibuat mendapati seramai 68 suspek positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan THC. Mereka terdiri daripada 49 lelaki dan 19 wanita.
Tambah beliau, susulan serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas pelbagai dadah bernilai RM261,797 yang boleh digunakan seramai 15,206 penagih sekiranya dadah berkenaan berada di pasaran.
“Antara dadah tersebut adalah 3.43 kilogram serbuk ekstasi, 1,368 biji pil ekstasi, 417.08 gram ketamin dan 300 biji pil Eramin 5.
“Turut dirampas sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM31,218. Nilai keseluruhan rampasan melibatkan dadah dan barangan adalah RM408,015,” ujarnya.
Tambah Kamarul Zaman, kesemua suspek kini direman antara satu hingga enam hari untuk membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(2) dan Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor 4/98.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut memaklumkan sejak 1 hingga 20 Januari lalu, pihaknya telah menahan seramai 1,078 suspek atas pelbagai kesalahan dadah serta membuat rampasan dadah seberat 602.66 kilogram.
Penggerak Daily