JOHOR BAHRU: Seorang akauntan berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM2.27 juta selepas terpedaya dengan sindiket ‘scammer’ yang menjalankan skim pelaburan saham secara dalam talian.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, mangsa yang berusia 75 tahun itu mula terjerat dengan penipuan itu bermula 19 Disember tahun lalu selepas menerima tawaran melalui WhatsApp.
“Mesej berkenaan memberi penerangan tentang cara membuat pelaburan dengan turut menjanjikan keuntungan yang lumayan secara mudah dalam masa yang singkat.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa mengikut arahan dalam mesej berkenaan dan memuat turun satu aplikasi. Mangsa turut mendaftar bank akaun bagi memantau pelaburan yang dibuat.
“Mangsa kemudian mula membuat pelaburan pada bulan Mei dan Jun tahun ini melalui beberapa transaksi dengan keseluruhan wang dipindahkan berjumlah RM2.27 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, mangsa kemudian dimaklumkan telah mencatat keuntungan sebanyak RM12.9 juta hasil pelaburan yang dibuat.
“Bagaimanapun, sindiket berkenaan meminta mangsa membayar komisen sebanyak RM1.6 juta sebelum dapat mengambil wang keuntungan berkenaan.
“Mangsa tidak membuat pembayaran komisen berkenaan, sebaliknya mengesyaki telah ditipu sindiket pelaburan palsu,” katanya sambil memberitahu mangsa membuat laporan polis di sini, semalam.
Tambah beliau, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Penggerak Daily