JOHOR BAHRU: Sebuah premis runcit di Masai, Pasir Gudang yang dijadikan lokasi simpanan pelbagai jenis arak bernilai RM50,000 telah diserbu sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang merupakan seorang pembantu kedai.
“Dalam serbuan itu, sebanyak 537 tin dan botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM50,000 termasuk cukai berjaya dirampas.
“Kesemua minuman keras itu disimpan di dalam sebuah bilik stor. Sementara itu, majikan atau pemilik premis sedang diburu,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, suspek kini ditahan reman selama 12 bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Polis akan terus membanteras kegiatan penyeludupan, kita turut memberikan amaran terhadap mana-mana pihak untuk menghentikan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Sementara itu, kita juga berharap orang awam akan terus mengalir maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka,” jelasnya.
Penggerak Daily