JOHOR BAHRU: Seorang bapa kepada tujuh anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didakwa memukul seorang lelaki berusia 56 tahun sehingga parah menggunakan sebatang kayu snuker, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Salehudin Mohamed, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada seorang lelaki berusia 56 tahun menggunakan sebatang kayu snuker yang digunakan sebagai senjata.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pusat snuker di Taman Rinting, Masai di sini pada pukul 10.55 malam, 4 Disember lalu.
Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Afdhalan Syafiq Azmi meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah mengizinkan, dia meminta jaminan RM10,000 beserta syarat tambahan.
Peguam, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri bagaimanapun memohon budi bicara mahkamah dengan memberikan jaminan terhadap tertuduh.
“Dia merupakan seorang bapa kepada tujuh anak-anak yang berusia antara 14 hingga 2 tahun, dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,800 bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 beserta syarat tambahan dengan seorang penjamin warga tempatan, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah sekiranya ada dan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.
Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 13 Februari depan bagi sebutan semula kes.
Penggerak Daily