ISKANDAR PUTERI: Polis berjaya mematahkan sindiket perjudian atas talian yang baharu beroperasi selama tiga hari selepas menahan lima suspek yang bertindak selaku ejen dalam satu serbuan yang diadakan di sebuah premis kediaman, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 3 petang itu dibuat menerusi Op Dadu.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan melibatkan empat lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 26 hingga 60 tahun.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kegiatan perjudian tersebut telah beroperasi lebih kurang 3 hari bermula pukul 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.
“Kesemua saspek mengaku berperanan sebagai ejen untuk menguruskan sembilan orang pelanggan tetap sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, segala bayaran melalui transaksi oleh pelanggan akan diuruskan individu bertanggungjawab sebagai khidmat pelanggan yang berada di tempat lain dan mereka mengaku hanya merekodkan jumlah pertaruhan daripada pelanggan.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat komputer riba, sebuah iPad, 10 telefon bimbit, sehelai kertas jadual pertaruhan dan sebuah pendrive,” ujarnya.
Dzulkhairi turut memberitahu, setiap ejen dijanjikan gaji antara RM2000 hingga RM3000 dan komisen sebanyak RM 0.2 peratus bergantung kepada jumlah pertaruhan dibuat pelanggan.
“Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada saspek mempunyai lima rekod dengan pelbagai kesalahan.
“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya.
Penggerak Daily