PONTIAN: Seorang bekas perunding perkhidmatan kewangan sebuah bank tempatan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan salah guna wang dan menipu membabitkan nilai berjumlah RM615,809.50 antara Ogos 2018 hingga Mac 2020.
Tertuduh, Mohd. Shukery Suhimi, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Nur Azzuin Abdul Moati.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd. Shukery didakwa telah menipu pelanggannya untuk mendaftar insuran simpanan berjumlah RM236,000.50 dalam dua akaun namun duit berkenaan dikeluarkan tertuduh untuk kegunaannya sendiri.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara Ogos 2018 hingga September 2019 di sebuah bank komersial beralamat di Senai, daerah Kulai.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, beserta sebat dan denda jika bersalah.
Sementara itu, berdasarkan pertuduhan kedua, Mohd. Shukery didakwa dengan curangnya telah menyalahguna wang bernilai RM379,809 milik seorang lagi pelanggannya.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut antara Jun 2019 hingga Mac 2020 di lokasi sama.
Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun beserta sebat dan denda.
Peguam tertuduh, Nur Syuhadah Mahzan meminta tertuduh diberi jaminan mininum kerana walaupun tertuduh bujang, namun dia menanggung ibu bapa yang sudah berusia dan seorang adik.
“Tertuduh kini bekerja sebagai ejen syarikat penapis air dengan pendapatan RM5,000 sebulan,” katanya ketika berhujah.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain menetapkan tarikh 28 November untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini.
Penggerak Daily