ISKANDAR PUTERI: Polis daerah ini telah menahan dua lagi suspek berkaitan kejadian penderaan melibatkan dua beradik di Taman Selesa Jaya yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua mereka yang ditahan itu merupakan sepasang suami isteri yang merupakan pengasuh kepada mangsa.
Katanya, kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 32 tahun itu dikenakan tahanan reman bermula hari ini sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan.
“Sementara itu, dua daripada tiga individu yang ditahan polis sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam iaitu B. Mariamah, 60, dan anak perempuannya, R. Deeba, 37.
“Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kedua-duanya yang tidak bekerja kemudian dikenakan jaminan RM15,000 masing-masing namun kerana gagal membayar, mereka ditahan di dalam lokap di Skudai,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan dua beradik berusia 6 dan 11 tahun didera dengan cara dipukul dengan rotan getah paip, disimbah dengan air panas selain dicucuh dengan puntung rokok dipercayai perbuatan pengasuh mereka.
Tambah Dzulkhairi, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
“Seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu teman lelaki Deeba yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dibebaskan dengan bon jaminan serta akan menjadi saksi pendakwaan.
“Sementara itu, kedua-dua mangsa kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas ini,” ujarnya.
Ibu kepada kanak-kanak tersebut M. Vikneswari, 30, sebelum ini memberitahu, dia yang sudah kematian suami meninggalkan anaknya dalam jagaan pengasuh itu yang dikenali melalui seorang kenalannya.
Dia dilaporkan berkata, anak-anaknya ditinggalkan bersama pengasuh berkenaan sejak April lalu dengan upah RM800 sebulan.
“Sejak April lalu saya hanya bertemu dengan anak-anak sebanyak tiga kali sahaja kerana sibuk bekerja selain pengasuh memberi pelbagai alasan untuk menghalang saya bertemu mereka termasuk dikenakan kuarantin.
“Saya bagaimanapun membuat laporan polis setelah berbincang dengan majikan kerana pelbagai masalah diberi pengasuh untuk saya bertemu dengan kedua-dua anak saya,” jelasnya.
Penggerak Daily