JOHOR BAHRU: Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang memandu kenderaan secara berbahaya dan melulu semasa cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sejauh enam kilometer di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 8.35 malam.
Menurut beliau, pemeriksaan dibuat turut mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, cukai jalan tamat tempoh dengan kedua-dua suspek positif dadah.
“Kejadian itu bermula apabila anggota yang melaksanakan Op Cegah Jenayah telah mengesan sebuah Mitsubishi Lancer dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila diarah berhenti, suspek bertindak melarikan diri dan bergerak melalui laluan Jalan Harmonium, Jalan Badik, Jalan Tebrau hingga ke susur keluar pekan Ulu Tiram.
“Lima buah kereta peronda MPV mengejar suspek sejauh enam kilometer sepanjang 20 minit sebelum berjaya menahan suspek apabila kenderaan mereka terhenti kerana kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, suspek dipercayai bertindak melarikan diri daripada polis kerana panik akibat masih berada dalam pengaruh dadah.
“Pemandu kereta berusia 24 tahun bersama penumpang berusia 28 tahun kemudian ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 serta Seksyen 26(1) akta sama.
“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 23(1) APJ 1987; Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily