JOHOR BAHRU: Polis menahan dua wanita warga tempatan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long menerusi beberapa serbuan berasingan yang dibuat, kelmarin.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, suspek yang berusia 28 dan 19 tahun itu ditahan pada pukul 8.30 malam.
Jelasnya, mereka ditahan menerusi Ops Vulture yang dibuat di beberapa lokasi di Bukit Indah, Gelang Patah dan Ulu Tiram dekat sini.
“Dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Bukit Indah, polis juga merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan sindiket termasuk tiga buah komputer dan 236 buah telefon bimbit pelbagai jenama.
“Siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan pusat panggilan kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Mohd. Salleh turut memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat dalam kegiatan jenayah itu.
“Kedua-dua wanita berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
“Sehubungan itu, polis menyeru agar orang ramai mengelak dari meminjam wang dengan ah long sebaliknya lakukan pinjaman dengan institusi kewangan yang berdaftar,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily