ISKANDAR PUTERI: Polis berjaya menahan empat lelaki yang terlibat dalam satu kejadian pecahan rumah di Kangkar Pulai, Skudai di sini melibatkan kerugian berjumlah RM70,000 pada 9 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, keempat-empat suspek itu ditahan dalam dua serbuan berasingan, kelmarin.
Menurut beliau, mereka yang ditahan merupakan warga tempatan dan berusia antara 23 hingga 36 tahun.
“Pada 9 Oktober lalu, polis menerima aduan mangsa seorang guru wanita berusia 30-an memaklumkan kediamannya dipecah masuk empat lelaki ketika sedang tidur pada pukul 2.41 pagi.
“Suspek yang bersenjatakan parang telah mengikat kaki dan tangan mangsa menggunakan sarung bantal sebelum melarikan barangan berharga daripada kediaman berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menjejak empat suspek dalam dua serbuan berasingan masing-masing di Taman Mutiara Mas dan Taman Universiti,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Tambah Dzulkhairi, tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau dengan seorang daripada mereka mempunyai 24 rekod melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Manakala dua lagi turut mempunyai rekod lampau iaitu masing-masing lapan dan satu. Dalam masa sama dua daripada mereka turut positif dadah jenis methamphetamine.
“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah kereta jenis Honda Accord yang digunakan dalam kes berkenaan, dua bilah parang serta beberapa peralatan kamera yang dicuri daripada kediaman mangsa,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, pihaknya bagaimanapun masih berusaha untuk mengesan seorang lagi rakan suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Dengan tertangkapnya empat suspek ini, kami percaya beberapa kes samun yang dilaporkan berlaku di daerah ini berjaya diselesaikan,” ujarnya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Penggerak Daily