JOHOR BAHRU: Walaupun bersedih dengan kejadian yang menimpa Konstabel Nicholester Dadup Unggat, ibu bapanya tetap menzahirkan perasaan bangga kerana anaknya maut ketika menjalankan tugas.
Perkara itu didedahkan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman ketika sesi pendakwaan terhadap suspek utama kejadian tersebut di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Menurut beliau, kakak mangsa, Elizcavelynicy Unchi Unggat memberitahu, kejadian berlaku itu merupakan kehilangan besar buat keluarga mereka.
“Mendiang merupakan anak kedua daripada tiga beradik, selain turut memiliki dua adik beradik tiri. Mendiang juga turut menghantar wang belanja secara bulanan buat keluarganya.
“Walaupun bersedih, namun kedua ibu bapa tetap berasa bangga kerana mendiang maut ketika menjalankan tugas, berkhidmat untuk masyarakat,” katanya ketika sesi mahkamah di hadapan Majistret, Mohd. Zaki Abd. Rahman.
Sementara itu, suspek utama yang merupakan pemandu Perodua Myvi yang mengakibatkan kemalangan maut berkenaan, Mohamad Shafiq Lokman, 25, dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun, beserta denda RM30,000 jika gagal tambahan 12 bulan penjara kerana kesalahan berkenaan.
Dia dijatuhkan hukuman tersebut selepas membuat pengakuan bersalah.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi, 1 November lalu, Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, maut manakala rakan setugas Mohd. Fadhirul Musa 32, cedera parah selepas kereta peronda MPV polis dinaiki mereka terlibat kemalangan sewaktu mengejar sebuah Perodua Myvi.
Sementara itu, Tengku Amir Zaki turut memberitahu mahkamah seorang lagi mangsa, iaitu Mohd. Fadhirul yang merupakan pemandu kereta peronda MPV dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Sultan Ismail.
Menurutnya, mangsa dilaporkan bakal menjalani pembedahan di bahagian mulut dan sebahagian mulanya untuk memasang pendakap bagi membolehkan bernafas secara normal seperti sebelum ini.
“Pada ketika ini, tahap kesedaran mangsa masih rendah kerana pendarahan di kepala dan memerlukan tempoh antara tiga atau empat bulan untuk sembuh,” ujarnya.
Penggerak Daily