JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik membaiki mesin di sebuah kedai mainan dihadap ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merasuah seorang pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada bulan Mac, tahun lalu.
Tertuduh, Chong Kin Yeong, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memberi suapan sebanyak RM4,000 kepada seorang pembantu penguatkuasa MBIP untuk tidak menyita mesin di premis TL Toy Happy Fan yang beralamat di Taman Sutera Utama, Skudai di sini pada pukul 10.30 malam, 21 Mac tahun lalu.
Tindakan sitaan terhadap mesin di premis itu dibuat kerana telah melanggar syarat sah lesen dibawah Undang-Undang Kecil Perlesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian 2018.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Ameera D’Aneez Mohd. Shukari meminta mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin kerana kesalahan tersebut merupakan kesalahan tidak dibenarkan jamin.
Peguam tertuduh, Wong Joon Wye bagaimanapun memberitahu, tertuduh telah memberi kerjasama kepada SPRM dan tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri.
“Tertuduh menyara seorang isteri yang tidak bekerja serta tiga orang anak dengan pendapatan RM3,000 sebulan, jadi saya mohon mahkamah benarkan jaminan sebanyak RM5,000,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor sebulan sekali, selain pasport antarabangsa diserah ke mahkamah.
Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 19 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Penggerak Daily