ISKANDAR PUTERI: Seorang pengurus syarikat berusia 31 tahun berputih mata apabila kerugian RM570,174 selepas terpedaya dengan helah scammer yang menyamar sebagai adik kandungnya.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita membuat laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.20 petang, hari ini.
Katanya, mangsa hanya sedar telah ditipu selepas memindahkan sejumlah wang berkenaan ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.
“Terdahulu, mangsa menerima pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp yang dipercayai dihantar oleh adiknya yang berusia 29 tahun meminta wang berjumlah RM570,174 bagi tujuan perniagaan.
“Tanpa berasa ragu, mangsa terus melakukan pemindahan wang ke dalam akaun diberikan suspek sebelum menghubungi adiknya dan bertanyakan perkara tersebut.
“Adik mangsa bagaimanapun telah menafikan ada meminta sejumlah wang tersebut, menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu dan terus membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rahmat, sejumlah wang itu dipindahkan menerusi satu transaksi kewangan atas talian pada hari sama.
“Kita telah membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Dalam masa sama, polis menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon atau pesanan ringkas daripada nombor tidak dikenali, sebaiknya lakukan semakan terlebih dahulu.
“Ini kerana dalam kes tersebut, nombor digunakan scammer tidak sama dengan nombor adik lelaki mangsa yang berada dalam simpanan telefonnya,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily