JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang menyiasat kemungkinan motif penculikan kanak kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun pada 20 Julai lalu di Iskandar Puteri di sini bermotifkan jenayah pedofilia.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, siasatan itu ekoran penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi libatkan kanak-kanak di kediaman suspek.
Bagaimanapun katanya, motif itu dipercayai akan dapat dikenalpasti dalam waktu terdekat.
“Berhubung kes ini, siasatan terhadap suspek masih berjalan walaupun telah dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ini. Namun kita tangkap semula suspek selepas mendapati petunjuk baharu iaitu peralatan seks berkenaan.
“Sehubungan itu, fokus siasatan kita kini menjurus kepada petunjuk baharu itu dan kita harap dapat kenalpasti motif dalam masa beberapa hari,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Sementara itu, Kumar turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan ahli keluarga mangsa telah menarik semula laporan polis berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.
“Tiada laporan polis yang ditarik, kes ini sedang disiasat dan proses siasatan berjalan seperti biasa.
“Siasatan awal juga mendapati suspek bertindak seorang diri dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah,” ujarnya.
Selain itu, Kumar turut memberitahu tiada keperluan untuk kanak-kanak berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan semula kerana laporan perubatan dibuat sebelum ini mengesahkan kanak-kanak berkenaan selamat dan tidak diapa-apakan.
“Pemeriksaan kesihatan menyeluruh telah dibuat sebelum ini dan tiada kewajaran untuk diperiksa semula, bagaimanapun kanak-kanak itu sedikit trauma akibat kejadian berkenaan,” jelasnya lanjut.
Kelmarin, suspek berusia 31 tahun itu ditahan semula bagi membantu siasatan kes penculikan Albertine Leo Jia Hui ekoran penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi libatkan kanak-kanak.
Suspek ditahan reman selama enam hari bermula semalam sehingga 10 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan juga Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Penggerak Daily