KULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas 903 unit tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama bernilai RM80,000 disimpan di sebuah stor di Sedenak, di sini.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki warganegara asing berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai pekerja stor.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas beberapa dokumen menerusi serbuan yang dijalankan itu.
“Pemeriksaan dibuat mendapati stor ini menyimpan tong LPG bagi tujuan penyelewengan atau ’decanting’ iaitu memindahkan gas dari tong 14 kilogram (kg) bersubsidi ke tong berkapasiti 50 kg untuk kegunaan industri.
“Pihak stor gagal mengemukakan dokumen permit penyimpanan atau lesen barang kawalan berjadual LPG apabila diminta pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita semasa meninjau lokasi serbuan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Lilis Saslinda memberitahu, siasatan lanjut akan dibuat untuk mengenal pasti individu atau syarikat terlibat dalam aktiviti serta rantaian pengedaran LPG secara haram.
“Ini termasuklah sumber LPG diperoleh dari mana dan edaran mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. KPDN Johor tidak akan berkompromi perbuatan salah laku undang-undang,” jelasnya.
Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan telah diambil kepada pihak terlibat mengikut peruntukan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
“Manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak lebij RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” jelasnya.
Penggerak Daily