JOHOR BAHRU: Lapan daripada 17 suspek yang ditahan melibatkan serbuan dadah terbesar yang direkodkan dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) awal bulan ini berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup kerana bakal didakwa dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret, esok.
Sementara itu, lima suspek lain akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985, manakala empat yang lain dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 62 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan dijalankan antara 8 hingga 17 Januari lalu.
Menurut beliau, antara lapan suspek yang berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup itu termasuklah ketua sindiket yang berusia 44 tahun beserta teman wanitanya yang berusia 33 tahun.
“Sejumlah 23 serbuan telah dijalankan dalam operasi yang bermula antara 8 hingga 17 Januari itu dengan polis berjaya membongkar lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah.
“Serbuan dadah melibatkan sindiket ini adalah sebanyak RM341 juta, yang merupakan rampasan dadah terbesar dalam JSJN di seluruh Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan, di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, tindakan undang-undang yang diambil terhadap ahli sindiket ini merupakan bukti bahawa polis bukan sahaja menangkap dan membuat rampasan, tetapi juga disusuli dengan tindakan undang-undang di mahkamah.
“Sebelum ini ada cakap-cakap yang mengatakan polis hanya menahan dan membuat rampasan tetapi tiada tindakan undang-undang di mahkamah diambil.
“Ini bukti bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada,” tambahnya.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan siasatan polis berhubung sindiket ini masih dijalankan dan pihaknya yakin mereka yang masih bebas akan berjaya dikesan dalam waktu terdekat.
Penggerak Daily