JOHOR BAHRU: Satu sindiket penipuan Macau Scam yang menawarkan gaji RM3,000 sebulan dan peluang kerjaya di luar negara berjaya dilumpuhkan Polis Johor dalam beberapa operasi yang dijalankan pada 15 dan 19 Oktober lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket yang baharu beroperasi selama seminggu itu lumpuh selepas lapan anggotanya berjaya ditahan dalam serbuan termasuk di sebuah restoran di Kampung Tahana 2, Larkin pada 15 Oktober dan sebuah rumah di Taman Saga, Kulai pada 19 Oktober.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan dan berusia antara 21 hingga 43 tahun.
“Mereka yang ditahan itu berperanan sebagai pengajar, ejen dan juga operator pusat panggilan Macau Scam yang berpusat di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan melatih pekerja baharu tentang teknik penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis, Kastam dan Bank Negara Malaysia.
“Mereka diberi tawaran gaji sebanyak RM3,000 sebulan dan komisen 3 peratus bagi setiap hasil penipuan yang berjaya dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.
Tambah beliau, sindiket berkenaan juga dikesan aktif merekrut pekerja untuk bertugas di pusat panggilan Macau Scam di luar negara antaranya Kemboja, Dubai dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Dalam serbuan yang dijalankan, polis turut merampas 11 telefon bimbit, dua komputer riba, satu mesin pencetak, satu perakam suara, sebuah buku catatan dan lima dokumen mengandungi skrip kerja.
“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya sindiket ini baharu beroperasi seminggu dan mereka yang menjadi ahlinya tidak sempat menerima bayaran gaji seperti yang ditawarkan,” ujarnya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ayob Khan turut memohon bantuan awam untuk mengesan dua lelaki yang dipercayai merupakan dalang kepada sindiket berkenaan.
“Polis masih mengesan dua lelaki iaitu Su Hao Shou, 33, yang beralamat di Taman Stulang, di sini dan Mohamad Khairuddin Syah, 25, yang beralamat di Taman Damai Jaya, Skudai.
“Kami yakin kedua-dua mereka masih berada di dalam negara. Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes jenayah komersil boleh hubungi talian 013-2111222,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily