JOHOR BAHRU: Lapan suspek yang direman kerana dipercayai terlibat dalam insiden pencemaran Kampung Baru Sri Aman, Kempas, di sini baru-baru ini telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, keterangan kesemua mereka telah lengkap diambil pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa sedang melengkapkan kertas siasatan dan dijangka mereka akan berdepan dengan pertuduhan, bila kita akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata, seramai sembilan suspek terdiri daripada lima warga tempatan serta empat warga asing termasuk pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan berhubung Insiden berkenaan.
Seorang daripada mereka bagaimanapun telah dibebaskan selepas keterangan lengkap diambil manakala lapan yang lain dikenakan tahanan reman.
Sementara itu, Mohd. Famey sebelum ini memaklumkan kesemua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Selasa lalu, insiden pencemaran itu menyebabkan empat penduduk Kampung Baru Sri Aman pengsan dan terpaksa dirawat di hospital manakala 128 yang lain dipindahkan selepas berlakunya pencemaran bau yang terhasil daripada pembuangan sisa kimia yang mengalir ke sungai berhampiran.
Penggerak Daily