JOHOR BAHRU: Lebih 20 peratus daripada 12,931 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor sempena Ops Khas Tahun Baharu Cina 2025 di negeri ini merupakan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu.
Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Abidin sehubungan itu berkata, tahap kesedaran pematuhan peraturan keselamatan jalan raya khususnya kenderaan persendirian masih berada pada skala rendah.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan syarikat, pemilik dan mana-mana pemandu yang tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.
“Ops Khas yang dilaksanakan sejak 20 Januari hingga 9 Februari lalu menyaksikan sebanyak 29,802 buah kenderaan diperiksa, dengan 12,931 saman dikeluarkan.
“Daripada jumlah itu, 21 peratus adalah kesalahan tidak memiliki lesen memandu; 17 peratus tidak memperbaharui lesen memandu; 15 peratus tiada insurans kenderaan serta empat peratus memandu secara tidak selamat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azmil, lain-lain kesalahan termasuklah memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta tidak memakai topi keledar atau tali pinggang.
“Sepanjang tempoh operasi itu juga, pihaknya telah mengambil tindakan sitaan terhadap 159 buah kenderaan kerana tidak selamat atau tidak layak berada di jalan raya.
“JPJ Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang masih berterusan melakukan kesalahan dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” jelasnya.
Penggerak Daily