JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan polis bersama 1,031 karton rokok seludup pelbagai jenama dalam serbuan yang dijalankan terhadap sebuah premis di Taman Desa Tebrau, di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am, Superintenden Dimin Awang berkata, serbuan itu dijalankan pihaknya pada pukul 6.30 petang.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan berkenaan adalah RM203,574.60.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit di sekitar bandar raya ini.
“Selain itu, suspek turut menjadikan
premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Dimin, antara barangan yang dirampas termasuklah rokok Manchester Merah, Manchester Gold, Manchester Biru dan sebuah kenderaan jenis Proton Persona.
“Dengan tertangkapnya individu berkenaan, kami percaya telah berjaya menumpaskan rangkaian pengedaran rokok seludup di sekitar Johor Bahru.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik Gerakan Batalion 5 PGA,” tambahnya.
Penggerak Daily