KULAI: Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM527,116 lebur selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut daripada mangsa, kelmarin.
Menurut beliau, mangsa tertarik menyertai pelaburan itu selepas terpedaya dengan pulangan lumayan yang dijanjikan suspek.
“Mangsa membuat beberapa transaksi pembayaran ke dalam tiga akaun bank tempatan berbeza antara 19 September hingga 25 Oktober berjumlah RM527,116.
“Mangsa teruja apabila dimaklumkan pelaburannya telah beroleh pulangan sebanyak RM2 juta. Bagaimanapun mangsa diminta membuat pelaburan tambahan sebanyak RM239,116 bagi mendapatkan pulangan tersebut.
“Mangsa enggan menurut permintaan suspek, selain terus membuat laporan polis kerana mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu penipuan pelaburan saham tidak wujud.
“Sehubungan itu, kami menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran perniagaan atau pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh waktu singkat,” jelasnya.
Penggerak Daily