JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menahan seorang lelaki warga tempatan kelmarin kerana mengeluarkan komen berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di laman sosial Twitter miliknya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan di kediamannya di Ulu Tiram pada pukul 9.25 malam.
Menurut beliau, lelaki yang bekerja sebagai pengecat kereta sambilan itu bagaimanapun dilepaskan setelah keterangannya diambil bagi membantu siasatan.
“Pada 8 Oktober lalu, polis Johor menerima laporan daripada Ketua Unit Media Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor berkaitan satu kenyataan di akaun Twitter bernama zion74rey@reymizion74 pada pukul 2.03 petang.
“Hantaran berkenaan mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor dan institusi Diraja Johor,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, lelaki berkenaan mempunyai dua rekod lampau bersabit kes ceroboh dan khianat.
Katanya, polis turut merampas peralatan dan peranti yang dipercayai digunakan suspek untuk membuat posting berkenaan termasuk satu unit komputer, satu telefon bimbit dan satu unit adapter.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserah kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Sehubungan itu Ayob Khan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak menyalah guna media sosial dengan membuat hantaran yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.
Penggerak Daily