JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 24 tahun sedang diburu polis kerana mengintai jiran perempuannya ketika sedang mandi di sebuah kawasan perumahan di Taman Setia Indah, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 23 tahun, dua hari lalu.
Katanya, itu merupakan kejadian kali kedua dialami pengadu yang telah menyewa kediaman berkenaan sejak dua bulan lalu.
“Pengadu membuat laporan dia diintai ketika sedang mandi di tandas rumah sewanya kira-kira pada pukul 7.15 pagi.
“Dia menyedari perkara berkenaan selepas mendapati terdapat pergerakan orang di luar tandas melalui tingkap tandas yang sedikit terbuka ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Tambah Mohd. Padzli, mangsa mengesyaki jirannya yang melakukan perbuatan itu kerana hanya suspek yang sudah bangun pagi ketika kejadian berlaku.
“Mangsa turut membuat rakaman video pergerakan suspek menggunakan telefon bimbit namun gambarnya tidak jelas,” ujarnya.
Beliau kemudian memberitahu kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Penggerak Daily