JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Myanmar bersama dengan 28 karton arak dipercayai tidak bercukai yang ditemukan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Dato Chellam, Ulu Tiram, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan di rumah kediaman dua tingkat itu dijalankan pada pukul 4 pagi.
“Ketika serbuan, polis menahan seorang lelaki Myanmar berusia 32 tahun yang berada di lokasi selain turut merampas 28 karton mengandungi pelbagai jenis arak dianggarkan bernilai RM15,000.
“Siasatan awal mempercayai premis tersebut telah dijadikan tempat penyimpanan dan transit minuman keras tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan lampau, manakala ujian urin mendapati suspek negatif daripada pengaruh dadah.
“Suspek kini direman 10 hari bermula semalam hingga 23 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Penggerak Daily