JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara Vietnam ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor kerana menyimpan dan menjual pelbagai bahagian hidupan liar di sebuah premis di kawasan perindustrian di Jalan Benut, Simpang Renggam, Kluang, semalam.
Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan pada pukul 3.45 petang selepas pihaknya menerima maklumat awam.
Katanya, semasa soal siasat, lelaki berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah untuk menyimpan bahagian hidupan liar tersebut.
“Hasil pemeriksaan dibuat menemukan satu bahagian daging disyaki babi hutan dalam sebuah peti sejuk beku, dua duri landak, tiga taring babi hutan, empat kulit ular sawa batik, lima kulit biawak serta enam tulang babi hutan.
“Lelaki yang ditahan tersebut merupakan pekerja di sebuah kedai buah-buahan di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Tambah beliau, pihaknya percaya hidupan liar yang disimpan itu bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi turut dijual.
“Selain bahagian hidupan liar, pihaknya turut merampas dua telefon pintar, satu passport serta satu bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada lelaki terbabit untuk membantu siasatan.
“Dalam pada itu, Perhilitan akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek, hari ini,” tambahnya.
Penggerak Daily