JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas telah ditahan polis kerana merosakkan poster sebuah parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berusia 62 tahun itu ditahan pada pukul 5.35 pagi, hari ini.
Menurut beliau, suspek dipercayai telah merosakkan bahan kempen tersebut menggunakan senjata tajam pada pukul 10.02 malam, Selasa lalu.
“Bertindak atas maklumat, suspek yang juga merupakan seorang pemandu bas kilang telah ditahan di kawasan Skudai Kiri, Tampoi di sini awal pagi hari ini.
“Turut dirampas dalam serbuan itu termasuklah sehelai bendera parti politik, sebilah pisau berukuran 34 sentimeter, sebuah kamera ‘dashboard’, sebuah bas kilang dan sebuah telefon bimbit.
“Semakan lampau turut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kamarul Zaman, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Sehubungan itu, Polis Johor menasihati semua parti dan penyokong mereka untuk tidak melakukan sebarang kerosakan terhadap bahan kempen pihak lawan atau apa-apa perkara yang melanggar undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily