JOHOR BAHRU: Empat lelaki dan seorang wanita termasuk ketua sindiket dan dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 18 pertuduhan terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah melibatkan nilai rampasan sebanyak RM341 juta yang dibongkar polis Johor, awal bulan ini.
Kesemua tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Nurmardiana Mamat dalam bahasa Mandarin.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan membabitkan ketua sindiket, Goh Chee Kuang, 44; kekasihnya, Lee Chia Hui, 33; Lye Chang Pung, 39, dan adiknya, Lye Chang Lim, 35; serta Bally Paw Shaw Kiat, 38.
Chang Pung berdepan lima pertuduhan, Shaw Kiat empat pertuduhan manakala Chee Kuang, Chang Lim dan Chia Hui masing-masing tiga pertuduhan.
Mereka secara bersama didakwa mengedar beberapa jenis dadah berbahaya termasuk ketamin dan methamphetamine antara 102 gram (g) hingga 210 kilogram (kg).
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Mount Austin, Taman Baiduri dan Taman Setia Indah di sini antara 9 hingga 15 Januari tahun ini.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah 39B(2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi dan Suriani Ujang manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Bela, Datuk Micheal K. L. Chee dan Kevin Quah Kai Weng.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar awal bulan ini memberitahu, serbuan terhadap sindiket pengedaran dadah ini melibatkan rampasan dadah terbesar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negara.
Katanya, pihaknya telah melakukan sejumlah 23 serbuan di beberapa lokasi sekitar bandar ini antara 8 hingga 23 Januari lalu yang menyaksikan seramai 17 suspek berusia antara 17 hingga 62 tahun ditahan.
Menurut beliau, serbuan itu menyaksikan polis berjaya membongkar lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah yang dipercayai telah beroperasi sejak 2018.
“Serbuan dadah membabitkan sindiket ini menyaksikan rampasan dadah bernilai RM341 juta berjaya dibuat yang mana ianya merupakan rampasan dadah terbesar dalam sejarah JSJN,” katanya.
Penggerak Daily