KULAI: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan terlibat dalam satu kejadian bunuh melibatkan seorang lelaki di Kilometer 40.2 Lebuh Raya PLUS dekat sini pada 20 Disember lalu.
Kesemua tertuduh, Ng Cheng Ket, 31; Kong King Xiang, 23; P. Shanker Rao, 24; Choo Zhi Jie, 18 dan Ng Cheng Peng, 30, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Syarifah Maleeha Syed Hussin.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dalam perbicaraan yang dijalankan secara maya ekoran nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak membenarkan kelima-lima suspek hadir ke mahkamah.
Arahan itu dibuat ekoran kesemua suspek kini dikenakan kuarantin di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua suspek telah bersama-sama berniat untuk menyebabkan bencana tubuh yang cukup secara lazimnya untuk menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki berusia 34 tahun.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 40.2 Lebuh Raya PLUS arah utara pada pukul 12.30 tengah malam, 20 Disember lalu.
Atas kesalahan itu, mereka semua didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Inspektor Polis, Mohammad Khairi Salleh yang menggantikan Timbalan Pendakwa Raya bagaimanapun memohon agar kes ditangguhkan bagi menunggu keputusan laporan kimia.
Sharifah Maleeha kemudian menetapkan tarikh 2 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Kesemua tertuduh diwakili peguam, Datin Freda Sabapathy, Foo Fang Leong dan K. Veeranesh Babu.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, mangsa yang dikenali sebagai Ram, 34 ditemukan meninggal dunia dalam longkang dengan beberapa kesan tetakan dan kecederaan pada anggota badan serta kepala.
Menurut beliau, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang lagi rakannya menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Mereka dipercayai baru sahaja menarik kenderaan terbabit selepas pemiliknya gagal membayar ansuran bulanan kepada bank.
Katanya, hasil siasatan mendapati motif kes ekoran rasa tidak puas hati tentang pembayaran kenderaan yang dibeli dan lari daripada pihak bank.
Polis Johor telah berjaya menahan seramai 12 ahli geng kongsi gelap Ngo Seik Kee yang dipercayai terlibat dengan kejadian itu, masing-masing dua ditahan di tempat kejadian manakala 10 yang lain ditahan dalam satu serbuan di Bakri, Muar, pada 23 Disember lalu.
Penggerak Daily