KULAI: Lima samseng jalanan yang memandu motosikal secara berbahaya ditahan polis menerusi satu operasi yang dijalankan di Lebuhraya Linkedua, dekat sini lewat malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kelima-lima suspek yang ditahan berusia antara 16 hingga 19 tahun.
Menurutnya, Op Samseng Jalanan itu turut menyaksikan pihaknya mengeluarkan 26 saman melibatkan pelbagai kesalahan.
“Operasi yang bermula pada pukul 10.30 malam semalam itu melibatkan menyaksikan seramai lima samseng jalanan ditahan kerana memandu secara merbahaya.
“Antara aksi yang dilakukan kumpulan itu termasuklah memandu laju, melakukan aksi Superman dan aksi zig-zag di celah-celah kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Sementara itu tambahnya, 26 saman yang dikeluarkan pihaknya melibatkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen, tiada cukai jalan, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos dan penunggang bawah umur.
“Kelima-lima suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pada masa sama, mereka turut dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP),” ujarnya.
Penggerak Daily