JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seramai lima lelaki yang dipercayai merupakan tokan dadah dalam lima serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Pontian, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas 4.56 kilogram dadah bernilai RM61,104.
Menurut beliau, serbuan berkenaan dibuat pasukan tindakan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor bermula pukul 1 petang hingga 7 malam.
“Kesemua lelaki warga tempatan yang ditahan berusia antara 18 hingga 36 tahun. Dadah jenis heroin seberat 4.56 kilogram itu boleh digunakan seramai 22,800 penagih.
“Polis turut menyita dua buah motosikal bernilai RM13,500. Keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi khas ini adalah RM74,604,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati semua suspek negatif dadah manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Modus operandi digunakan adalah suspek menjadi orang tengah bagi mendapatkan bekalan daripada pembekal dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.
“Mereka ini juga dipercayai telah menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu secara aktif sejak September lalu,” ujarnya.
Kamarul Zaman turut memberitahu, semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Oktober ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 1 Januari lalu hingga semalam, JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 11,745 orang atas pelbagai kesalahan dadah.
“Dalam tempoh sama, JSJN Johor berjaya merampas dadah sebanyak 2.95 tan. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM12.54 juta, turut disita harta berjumlah RM7.51 juta.
“Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran dadah di kawasan mereka, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline JSJN 012-2087222,” tambahnya.
Penggerak Daily