JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor telah menahan 20 jenis ikan basah seberat 1,145 kilogram (kg) bernilai RM24,265 yang cuba dibawa keluar tanpa permit eksport sah ke Singapura, petang semalam.
Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, rampasan itu dibuat pihaknya di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah pada pukul 2 petang.
“Ketika kejadian, pihaknya sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang membawa muatan ikan menuju ke Singapura.
“Hasil pemeriksaan mendapati, sejumlah 1,145 kg ikan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM24,265 diletakkan bersama ikan lain yang mempunyai dokumen sah bagi mengelirukan penguatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut dibuat mendapati beberapa jenis ikan antaranya bawal, siakap, jelawat dan lain-lain tidak mempunyai permit eksport yang sah.
Sementara itu, pemandu lori berkenaan yang berusia 29 tahun dilepaskan selepas keterangannya diambil.
“Perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport yang sah daripada Maqis adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Maqis 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta sama.
“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara
selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Tambah Nur Afifah, Maqis komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat ditetapkan.
Penggerak Daily