JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor telah menahan satu konsainan yang membawa keju dari New Zealand di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), semalam.
Pengarahnya, Nur Afifah A. Rahman berkata, pemeriksaan rutin yang dilakukan Pegawai Penguatkuasa MAQIS mendapati keju seberat 2,080 kilogram (kg) tidak mempunyai sijil kesihatan sah dari negara asal.
Menurut beliau, keju berkenaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM39,712.25.
“Semasa pegawai MAQIS sedang menjalankan pemeriksaan di laluan lori, mereka mendapati keju seberat 2,080 kg yang tidak mempunyai sijil kesihatan sah diperlukan MAQIS.
“Sehubungan itu barangan dagangan berkenaan telah dirampas, manakala pemandu yang berusia 39 tahun dilepas selepas keterangan diambil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Difahamkan keju berkenaan bagi kegunaan pasaran tempatan.
Tambah Nur Afifah, Kes disiasat di bawah seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana tidak mematuhi syarat import.
“Jika sabit kesalahan pihak bertanggungjawab boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Afifah turut menegaskan pihaknya komited menjalankan penguatkuasaan dan akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara.
“Penguatkuasaan ini bertujuan untuk memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” tambahnya.
Penggerak Daily