ISKANDAR PUTERI: Pemeriksaan ketat dijalankan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai produk laut bernilai RM92,760 di Kompleks Sultan Abu Bakar, semalam.
Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, pihaknya berjaya mengesan cubaan menyeludup produk berkenaan ke Singapura semasa pemeriksaan dibuat terhadap sebuah lori di laluan eksport pada pukul 11 malam.
“Ketika pegawai menjalankan pemeriksaan, mereka mendapati beberapa barangan seperti ikan, sotong, udang dan lain-lain yang tidak mempunyai permit eksport sah.
“Kesemua barangan yang dianggarkan bernilai RM92,760 itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Nur Afifah, pemandu lori yang berusia 45 tahun diambil keterangan sebelum dibebaskan.
Menurutnya lagi, perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport sah MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.
“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.
“MAQIS komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan di semua pintu masuk negara.
“Langkah ini bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily