Categories
Jenayah

MAUT BERGADUH AKIBAT MABUK

JOHOR BAHRU: Angkara mabuk, seorang lelaki berusia 50-an maut dipukul selepas terlibat dalam satu pergaduhan dengan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Segget, berhampiran pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.40 malam.

Menurut beliau, pergaduhan tersebut dipercayai berpunca akibat kedua-dua mangsa dan suspek berada dalam keadaan mabuk.

“Bertindak atas maklumat awam, anggota polis bergegas ke lokasi sebelum mendapati seorang lelaki warga tempatan terbaring dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri.

“Pegawai perubatan yang hadir dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Raub, suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun telah ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau bersabit kes jenayah dan juga penyalahgunaan dadah.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek bergaduh dalam keadaan mabuk akibat pertengkaran mulut, dimana suspek telah memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki di bahagian muka dan kepala sehingga menyebabkan kecederaan parah,” ujarnya.

Raub turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang bertindak pantas dengan membantu membuat tangkapan terhadap suspek bagi membolehkan kes berkenaan selesai dalam tempoh 24 jam.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *