JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori yang bertindak memukul pemandu sebuah lori lain menggunakan sebatang kayu golf dalam satu kejadian di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Pasir Gudang pada 10 September lalu telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan pada hari sama.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada pengadu yang berusia 28 tahun.
“Menurut pengadu, ketika kejadian dia berada di depan sebuah stesen minyak sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertindak memecahkan cermin lori dipandu mangsa sebelum turut memukulnya menggunakan sebatang kayu golf.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian badan iaitu di pinggang kiri, belakang badan dan juga tangan kirinya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, video berdurasi satu minit enam saat berkaitan kejadian tersebut tular di media sosial sejak 16 September lalu.
“Semasa tangkapan terhadap suspek dibuat, polis turut merampas sebatang kayu golf yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Semakan rekod mendapati suspek turut mempunyai satu rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan empat rekod lampau bersabit kesalahan da dadah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Raub memberitahu siasatan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Penggerak Daily