JOHOR BAHRU: Cubaan seorang pemandu lori untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Yayasan Kanser Tunku Abdul Jalil menyebabkannya mengalami kerugian sebanyak RM150 setelah menjadi mangsa penipuan ‘scammer’.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, mangsa berusia 33 tahun membuat laporan polis berhubung perkara itu, semalam.
Katanya, mangsa telah tertarik membuat permohonan bantuan itu selepas melihat siaran langsung TikTok seorang individu yang mendakwa menawarkan bantuan dana daripada yayasan berkenaan.
“Individu berkenaan mendakwa yayasan akan memberikan bantuan dana berjumlah antara RM3,000 hingga RM15,000 kepada pemohon namun perlu membuat pendaftaran antara RM50 hingga RM300 terlebih dahulu.
“Mangsa yang tertarik kemudian berurusan dengan suspek menggunakan aplikasi WhatsApp dan membuat pembayaran ke sebuah akaun bagi mendapatkan bantuan dana tersebut.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila wang yang dijanjikan tidak diterima selepas 24 jam dia membuat pembayaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, semakan dengan pihak yayasan mendapati tiada tawaran dibuat seperti didakwa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, Polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran melibatkan transaksi kewangan daripada pihak tidak dikenali,” jelasnya.
Penggerak Daily