JOHOR BAHRU: Seorang pemuda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan melakukan perbuatan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki 16 tahun, pada 3 Januari lalu.
Tertuduh, Abdul Wafi Abdullah, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Hazeelia Muhammad.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan tarikh 7 Mac untuk sebutan semula kes termasuk penghakiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Abdul Wafi didakwa telah melakukan amang seksual dengan cara menyebabkan zakarnya disentuh kanak-kanak lelaki berusia 17 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di belakang kelas sebuah pusat jagaan di Kempas, di sini pada pukul 9 pagi, 3 Januari lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh dijamin kerana kedua-dua tertuduh dan mangsa tinggal di pusat jagaan sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Penggerak Daily