JOHOR BAHRU: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta di sini kerugian RM520,000 setelah ditipu ‘Inspektor Lee Kha Seng’ yang kononnya berkhidmat dengan polis di negeri utara tanah air.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun, semalam.
Katanya, mangsa memberitahu kejadian penipuan itu berlaku awal bulan lalu.
“Mangsa menerima panggilan seorang lelaki yang memberitahu kad ATM mangsa telah ditemukan dalam satu serbuan polis di sebuah premis yang menjalankan aktiviti penggubahan wang haram.
“Mangsa kemudian diperkenalkan dengan sorang lelaki lain yang mendakwa dirinya anggota polis bernama Inspektor Lee Kha Seng yang telah menawarkan bantuan bagi mengelak wang mangsa disita.
“Caranya adalah dengan memindahkan wang mangsa ke dalam sebuah akaun bank yang diarahkan sementara polis menjalankan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kumar turut memberitahu, mangsa menurut arahan itu setelah menerima surat melalui aplikasi WhatsApp dengan kepala surat mahkamah yang menyatakan tindakan akan diambil terhadap mangsa seperti pembekuan aset dan penangkapan.
“Mangsa memindahkan wang sebanyak RM520,000, sebelum terus didesak untuk membuat lagi pembayaran menyebabkannya mula berasa curiga dengan Inspektor Lee Kha Seng tersebut.
“Sehubungan itu, mangsa terus membuat laporan polis semalam,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tambah Kumar, pihaknya menyeru orang ramai agar lebih cakna dengan pelbagai trend penipuan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa sindiket.
“Gunakan perkhidmatan ‘Semak Mule’ secara dalam talian untuk menyemak status akaun bank dan nombor telefon mana-mana suspek sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.
“Maklumat berkaitan modus operandi pula boleh diperoleh menerusi pelbagai platform media rasmi Polis Johor seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” ujarnya.
Sementara itu, bagi mana-mana pihak yang telah menjadi mangsa penipuan boleh hubungi talian 997 untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek.
Penggerak Daily