JOHOR BAHRU: Akibat ‘gila bayang’ terhadap seorang wanita yang dikenali melalui media sosial, seorang penghantar barangan berusia 28 tahun mengalami kerugian sebanyak RM63,826.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berkenalan dengan suspek pada awal Ogos lalu.
Menurut beliau, hanya selepas 20 hari berkenalan, suspek yang dipercayai merupakan seorang wanita tempatan meminta bantuan kewangan daripada mangsa.
“Suspek mendakwa wang tersebut bagi membantu rawatan ibunya yang sedang sakit dengan suspek terpaksa meminta bantuan pihak lain kerana ibunya mengugut untuk memutuskan hubungan keluarga jika tidak mendapatkan wang.
“Mangsa yang terpedaya pujuk rayu suspek terus membuat 16 pindahan wang berjumlah RM63,826 ke dalam satu akaun bank,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, mangsa kemudian meminta untuk bertemu dengan suspek dan juga ibunya yang sedang sakit.
“Namun suspek mengelak untuk bertemu dengan memberikan pelbagai alasan. Akibat kecewa mangsa membuat carian di media sosial sebelum mendapati gambar ‘profile’ suspek adalah milik seorang pelakon terkenal di Hong Kong.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis setelah percaya dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan,” ujarnya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Penggerak Daily