JOHOR BAHRU: Seorang penolong akauntan Pejabat Kesihatan Daerah Segamat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan rasuah sebanyak RM9,831.60, enam tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Razis Zainadin, 40, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Razis didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapat suapan dengan mengemukakan sebut harga kepada syarikat IH Faeq Enterprise di mana tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.
Sebut harga itu melibatkan kerja bekalan tali bendera tiang dan tali mesin rumput kuning berjumlah RM880 ringgit; kerja bekalan USB mikro elektro 16GB bernilai RM2,000 ringgit; kerja bekalan dawai dan bateri berjumlah RM2,101.60.
Sebut harga itu turut termasuk kerja bekalan bateri berjumlah RM1,700 dan kerja bekalan cenderahati pesara berjumlah RM3,150.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Kesihatan Daerah Segamat antara 18 September hingga 16 Julai 2017.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM daerah Segamat setiap bulan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwaraya SPRM, Nur Mahirah Mohd. Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.
Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 16 April depan untuk sebutan semula kes berkenaan.
Penggerak Daily