JOHOR BAHRU: Cubaan seorang lelaki merasuah polis sebanyak RM18,000 semasa serbuan dijalankan di kediamannya yang dijadikan tempat simpanan arak seludup di Taman Air Biru, Pasir Gudang, di sini semalam gagal.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, suspek cuba merasuah beberapa kali semasa operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di rumah milik suspek yang berusia 51 tahun itu.
“Semasa serbuan dijalankan, pihak polis bertindak menahan seorang lelaki warga Nepal yang berusia 48 tahun. Lelaki itu mempunyai dokumen yang sah dan bekerja dengan lelaki terbabit sebagai penjaga stor.
“Lelaki itu yang merupakan majikannya cuba memberi rasuah sebanyak RM18,000 kepada anggota polis. Walaupun telah ditolak dan diberi amaran agar tidak berbuat demikian, namun lelaki berkenaan tetap berkeras.
“Sehubungan itu, kedua-dua lelaki terbabit telah ditahan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, pihaknya turut merampas 60 kotak minuman keras pelbagai jenis yang dipercayai tidak bercukai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM67,791.
“Pekerja asing itu ditahan reman di bawah Seksyen 116 C Akta Kastam 1967 selama lima hari bermula hari ini hingga 24 Jun depan, manakala majikannya diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.
“Pekerja asing terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala majikan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes memiliki arak tidak bercukai pada tahun 2022,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, ujian urin mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Penggerak Daily