JOHOR BAHRU: Seorang pesara mengalami kerugian lebih RM1 juta wang simpanannya setelah terpedaya dengan skim pelaburan berkaitan emas secara atas talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun itu tertarik dengan pelaburan berkenaan setelah melihat promosi di Facebook, Disember lalu.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor yang tertera sebelum menerima mesej daripada seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa telah diberi penerangan mengenai pelaburan saham dagangan ‘Spot Gold Futures XAUUSD’ melalui platform ‘Navik Capital’. Mangsa dijanjikan pulangan pelaburan antara 5 hingga 8 peratus dalam tempoh sehari selepas pelaburan dibuat.
“Tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa telah mengikut arahan individu tidak dikenali itu dengan membuat pembayaran ke beberapa akaun bank berjumlah RM1,065,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, mangsa dimaklumkan pelaburannya telah menjana keuntungan seperti dijanjikan, namun individu berkenaan memaklumkan wang berkenaan gagal dikeluarkan atas pelbagai sebab.
“Syak akan sesuatu, mangsa kemudian telah menyemak menerusi perkhidmatan Semak Mule dan mendapati nombor telefon berkenaan mempunyai rekod.
“Pengadu yang mula percaya bahawa dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis berhubung kerugian dialami pada 22 Mac lalu,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat,” jelasnya.
Penggerak Daily